Sunday 15 December 2013

Rasukan Jin Hindu

Salam muhhibah dan salam sejahtera...

Sering kali kita mendengar tentang kes-kes rasukan yang selalunya disebabkan keadaan seseorang (lemah semangat) atau pun tidak sengaja melukakan jin seperti berkeliaran di hutan, terpijak rumah mereka, ketika bermain, tersepak mereka dan sebagainya.

Kisah kali ini yang ingin cikgu sampaikan ialah mengenai jin liar beragama Hindu. Rohani (bukan nama sebenar) masih bersekolah dan berada dalam tingkatan satu. Dia telah menyertai rombongan berkelah dan beriadah di sebatang sungai Templer di Selangor. Dia menyertai rombongan tersebut bersama pihak sekolah yang diselia oleh guru-gurunya.

Mereka tiba di lokasi pada tengah hari mengikut jadual ditetapkan. Rombongan ini cukup bermakna untuk Rohani yang kini sudah bergelar remaja.

Setelah mendengar taklimat, mereka dibenarkan bermandi-manda di sungai tersebut. Semua peserta bermain dengan gembira dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan di sana.

Seperti pelajar lain, Rohani juga bergembira dan pada awalnya, segala-galanya berjalan lancar . Mereka berada dalam pemerhatian guru-guru bertugas.

Setelah hampir sejam bermandi-manda, guru-guru memanggil mereka untuk berehat dan menikmati makan tengah hari yang dibekalkan oleh pihak sekolah iaitu nasi campur dan ayam goreng.

Selesai sahaja mereka berehat dan makan,  para pelajar ini menyambung aktiviti mandi-manda mereka. Mereka berseronok seperti biasa. Ketika Rohani sedang bergembira, dia berasakan ada sesuatu dipijaknya semasa berada di dalam sungai.

Namun, apabila diperiksa, tiada apa-apa yang ada di dalam sungai itu. Jadi, dia meneruskan mandiannya itu. Tidak semena-mena, dia tercium bau colok lantaran dia dan rakan-rakan terkaku seketika. Mereka cuba mencari punca bau tersebut.

Bau itu hilang setelah Rohani menegur bau tersebut. Melihatkan situasi itu, Rohani dan rakan-rakan yang lain diarahkan oleh guru-gurunya menamatkan aktiviti mereka dan bersiap-siap pulang.

Ketika mereka bersiap-siap, rakan-rakannya berasakan ada sesuatu perubahan pada Rohani yang tidak lagi ceria dan hanya mendiamkan diri. Rohani ditegur oleh ustazah akan tingkah lakunya aneh seperti matanya sentiasa terbeliak dan memandang ke kiri dan ke kanan seperti berada dalam ketakutan.

Dia mengatakan bahawa dia tiada apa-apa tetapi berasakan ada sesuatu yang mengekorinya. Setelah beberapa ketika, mereka pulang ke rumah masing-masing setelah tiba di sekolah.

Setibanya di rumah, Rohani disambut gembira oleh ibu bapanya, namun ibu bapanya kehairanan melihatkan perubahan sikap Rohani yang berubah. Rohani terus masuk ke biliknya dan terus sahaja tidur seawal 9 malam.

Pada keesokan paginya (Ahad), Rohani tidak mahu bangun dan kelihatan bengis lalu marah-marah apabila melihat ibu bapanya. Rohani jelas berubah, tidak seperti dirinya yang sentiasa menghormati dan beretika ketika bersama ibu bapanya.

Ibu bapanya cuba menenteramkan Rohani, dan memimpinnya ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Kemudiannya, dia disuruh bersolat oleh ibu bapanya.

Ketika bersolat, Rohani berada dalam kegelisahan dan tidak tahan akan kepanasan yang datang tiba-tiba daripada kepala hingga turun ke kaki. Rohani terus sahaja pengsan setelah menahan kepanasan itu. Secara kebetulan, ibunya yang masuk ke bilik Rohani untuk memeriksanya, terkejut melihat Rohani yang terlantar di atas sejadah.

Ibunya menjerit memanggil si bapa apabila melihat kejadian tersebut. Si bapa mengejutkan Rohani daripada pengsannya, lalu dia tersedar tetapi dengan matanya yang terbeliak dan mula berbahasa Tamil serta kebengisan.

Ibu bapanya mula kaget melihatkan situasi itu lalu membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada Rohani sehingga berlakunya kerasukan jin itu sepenuhnya dalam diri Rohani. Rohani kini lebih bengis dan garang lalu mula memaki-maki ibu bapanya dalam bahasa Tamil.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila Rohani yang dirasuk itu meronta-ronta dan membaling barang ke arah ibu bapanya. Bapa Rohani menghubungi seorang kawannya bernama Haji Salim yang tinggal berdekatan rumah Cikgu.

Lazimnya, Cikgu Ilham akan menghormati dan mengutamakan orang tua dalam menjalankan sesuatu rawatan kepada pesakit. Tetapi Haji Salim yang juga pengamal perubatan Islam telah memberi laluan kepada cikgu untuk memulakan rawatan pada Rohani.

Seperti biasa, cikgu Ilham memulakan bacaan basmallah, istihgfar dan ayat-ayat Taawudz kepada mangsa. Jin itu mula memaki-maki cikgu dengan bahasa Tamil dan bahasa Melayu dengan pelat Tamil.

Cikgu meletakkan tangan di atas ubun kepala Rohani dan merugyah dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Jin Hindu itu (Rohani) mengelepar kesakitan dan merintih dalam bahasa Tamil. Cikgu Ilham pun mula memarahi jin itu;

"Keluar kau, jangan duduk (tinggal) di sini!"

Jin itu berdegil dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Cikgu Ilham pun membaca ayat-ayat Azab dan ayat membakar Jin. Jin itu meraung kesakitan dan menangis. Cikgu pun bertanya;

"Siapa kau!"

"Nama aku Subra" Katanya dalam pelat Tamil.

"Apa agama kamu?

"Agamaku Hindu."

"Mengapa kamu memasuki tubuh badannya?!"

"Dia melanggar aku dalam air tersebut ketika aku mandi di situ."

"Kaulah sebenarnya bersalah kerana manusia tidak nampak akan kamu dan kamulah sepatutnya mengalihkan diri kamu."

 Jin itu cuba melawan Cikgu Ilham. Cikgu Ilham terus membacakan ayat rugyah dan memohon petolongan-Nya sehingga keluarlah asap kecil pada kepala Rohani itu. Jin itu mengerang kesakitan yang amat sangat. Cikgu Ilham bertanya lagi;

"Di mana asalmu?"

"Aku datang dari sebuah kuil Hindu yang tidak jauh dari tempat tersebut."

"Kenapa kau berada di sungai tersebut pula?"

"Aku memang berniat hendak memasuki tubuh sesiapa sahaja yang mandi di sungai itu."

"Jadi, selama ini, sudah banyak kau lakukan perkara keji ini! Untuk apa kau lakukan?"

"Aku ingin makan darah haid."

"Bukankah kamu sudah diberikan darah oleh dukun di tempat kamu?"

"Ya, tetapi masih tidak mencukupi."

"Kau boleh ambil darah-darah yang lain?"

"Aku mahu ambil darah daripada manusia suci."

"Cukup. Aku tidak mahu berbicara dengan kamu. Keluar kamu dari badan manusia itu!"

Jin itu tetap berdegil. Cikgu Ilham bertindak dengan menyeksa jin itu menggunakan ayat-ayat Azab dan beberapa teknik menyentap jin tersebut menggunakan kain pelekat.

 Sewaktu dalam sentapan itu, jin itu mengerang kesakitan yang amat sangat. Setelah cikgu menyentapnya dengan kuat, Rohani pun pengsan dan jin itu pun terkeluar dari tubuhnya.

Rohani pun sedar daripada rasukan dan mula berasa sihat seperti sediakala. Cikgu Ilham menyediakan garam dan limau sebagai mandian buat Rohani. Ibu bapanya berasa gembira atas pemulihan Rohani itu.

Secara kesimpulannya, jadilah Al-Quran itu sebagai bekalan dan panduan ke mana-mana jua kita pergi. Bacalah dengan penuh keikhlasan untuk memohon perlindungan daripada Allah.








Friday 6 December 2013

Sihir Bomoh Siam

Salam muhibbah dan salam sejahtera.

Kisah kali ini berdasarkan pengalaman cikgu ketika merawat seorang pesakit yang merupakan seorang lelaki yang berjawatan tinggi dalam salah sebuah kilang gergasi di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Kisah ini bermula apabila Azmi (bukan nama sebenar) memarahi salah seorang pekerjanya dengan kata-kata kesat kerana melakukan kesilapan besar dalam kilang. Azmi terkenal sebagai orang atasan yang kurang disenang kerana keceluparan mulutnya. Pekerja yang dimarahi tersebut berasakan maruah bagai tercalar disebabkan oleh kata-kata Azmi.

Selang dua minggu selepas kejadian itu, Azmi mula berasakan perubahan aneh pada tubuh badannya. Pada permulaannya, tanda awal yang dirasakannya ialah rasa tercekik di celah-celah kerongkongnya dan mula berasakan luka-luka dan bengkak-bengkak pada tubuh badannya.

Sebagai orang berada dan berpendapatan tinggi, Azmi selalu cuba mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta, tetapi tetap gagal mengesan punca penyakitnya. Pelbagai kaedah rawatan moden dan alternatif telah dicuba olehnya, tetapi tetap gagal dan lebih menyedihkan, kulitnya mula berkudis dan bernanah serta mengeluarkan cecair busuk pada kaki dan badannya.

Azmi sering mengerang kesakitan setiap malam seolah-olah kulitnya telah dibakar. Telah banyak pusat rawatan Islam yang dicuba olehnya. Biarpun ada kesan dan perubahan daripada rawatan tersebut, tetapi tidak cukup untuk mengubati kesakitannya.

Azmi terpaksa mengambil cuti lebih daripada enam bulan. Jari -jemarinya juga mulai berkudis dan menghitam. Azmi cuba mencari penawar sehinggalah suatu hari, dia telah dipujuk oleh kawannya untuk datang menemui cikgu.

Kali pertama cikgu bertemunya, cikgu termenung seketika dan bermonolog dalaman simpati kepada si mangsa ini. Cikgu memanjatkan doa agar diberikan bantuan dan petunjuk untuk menolong Azmi.

Cikgu terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan memegang seluruh tubuh badan mangsa dengan penuh simpati. Biarpun Azmi mengerang kesakitan dalam suara yang lemah, cikgu berasakan ada sesuatu yang datang dan memasuki tubuh badan cikgu ketika meruqyah pesakit tersebut.

Ada sesuatu benda tajam menusuk masuk ke dalam badan cikgu. Cikgu meneruskan juga bacaan Al-Quran dan bermohon untuk diberikan penyembuhan dan petunjuk sehinggalah keluar serbuk-serbuk besi berwarna dengan banyaknya pada tubuh dan kakinya.

Lantaran itu, jin dalam badan mangsa bertempiran dan berkomunikasi dalam bahasa Siam dengan penuh kemarahan dan benci.

Cikgu memberikan amaran kepada jin itu supaya keluar, tetapi jin tersebut enggan. Ujar jin itu dalam dialek Melayu-Siam, jin itu mengugut untuk membunuh cikgu jika merawat pesakit itu. Akhirnya, cikgu menggunakan kekerasan dengan mengazab jin tersebut dengan ayat Al-Quran sehingga Jin itu kesakitan.

Namun, penyihir empunya jin membalas kembali sehinggakan ikan peliharaan cikgu mati serta-merta. Itulah keganasan ilmu hitam yang digunakannya.

Walaupun begitu, cikgu meneruskan seksaan demi seksaan terhadap jin tersebut sehingga jin itu terpaksa mengaku bahawa dia ialah jin besi bat (besi suci dan keramat yang dipuja di  dalam kuil sebagai kepercayaan).

Cikgu pun memaksa jin itu mendedahkan identiti penyihir mangsa, dan jin itu menjawab;

"Aku diupah oleh Kamarul (bukan nama sebenar). Kamarul sangat benci kepada kau dan ingin membunuh kau (merujuk pada Azmi)!"

Cikgu memberikan amaran kepada jin itu untuk keluar dari tubuh mangsa serta mengeluarkan besi bat dalam badan mangsa. Akan tetapi, jin tersebut tidak mampu mengeluarkannya kerana dikawal oleh Tok Sami di Siam.

Cikgu terpaksa menggunakan kekerasan dengan menyeksa jin dan juga penyihir di sana (Sami) sehingga suara Sami di Thailand itu, bergema pada mulut mangsa (seperti speaker). Berkat kesabaran dan laungan azan berulang kali, jin itu mengelupur dan nanah di kaki mangsa mengeluarkan air hitam yang sangat busuk (air suci pujaan sami Siam) sehinggalah jin itu terpaksa dihapuskan oleh cikgu.

Azmi pengsan dan kemudian sedar kembali daripada rasukan itu. Selepas itu, cikgu Ilham memandikan Azmi sebagai membersihkan dan merawati dirinya. Saat Azmi dimandi, dia memuntahkan cecair hitam yang busuk.

Azmi meneruskan rawatan mandian selama empat kali berturut-turut sehingga berasa pulih sedia kala. Selepas itu, beliau menjalani terapi selama tiga bulan dan kembali cergas untuk meneruskan kehidupannya.

Pengajaran yang ingin cikgu sampaikan ialah janganlah kita terlalu marah mengikut perasaan bukannya iman terhadap seseorang kerana mereka juga insan seperti kita yang mempunyai maruah dan harga diri yang tidak boleh diaibkan dalam khalayak umum.