Sunday 15 December 2013

Rasukan Jin Hindu

Salam muhhibah dan salam sejahtera...

Sering kali kita mendengar tentang kes-kes rasukan yang selalunya disebabkan keadaan seseorang (lemah semangat) atau pun tidak sengaja melukakan jin seperti berkeliaran di hutan, terpijak rumah mereka, ketika bermain, tersepak mereka dan sebagainya.

Kisah kali ini yang ingin cikgu sampaikan ialah mengenai jin liar beragama Hindu. Rohani (bukan nama sebenar) masih bersekolah dan berada dalam tingkatan satu. Dia telah menyertai rombongan berkelah dan beriadah di sebatang sungai Templer di Selangor. Dia menyertai rombongan tersebut bersama pihak sekolah yang diselia oleh guru-gurunya.

Mereka tiba di lokasi pada tengah hari mengikut jadual ditetapkan. Rombongan ini cukup bermakna untuk Rohani yang kini sudah bergelar remaja.

Setelah mendengar taklimat, mereka dibenarkan bermandi-manda di sungai tersebut. Semua peserta bermain dengan gembira dan melakukan aktiviti yang menyeronokkan di sana.

Seperti pelajar lain, Rohani juga bergembira dan pada awalnya, segala-galanya berjalan lancar . Mereka berada dalam pemerhatian guru-guru bertugas.

Setelah hampir sejam bermandi-manda, guru-guru memanggil mereka untuk berehat dan menikmati makan tengah hari yang dibekalkan oleh pihak sekolah iaitu nasi campur dan ayam goreng.

Selesai sahaja mereka berehat dan makan,  para pelajar ini menyambung aktiviti mandi-manda mereka. Mereka berseronok seperti biasa. Ketika Rohani sedang bergembira, dia berasakan ada sesuatu dipijaknya semasa berada di dalam sungai.

Namun, apabila diperiksa, tiada apa-apa yang ada di dalam sungai itu. Jadi, dia meneruskan mandiannya itu. Tidak semena-mena, dia tercium bau colok lantaran dia dan rakan-rakan terkaku seketika. Mereka cuba mencari punca bau tersebut.

Bau itu hilang setelah Rohani menegur bau tersebut. Melihatkan situasi itu, Rohani dan rakan-rakan yang lain diarahkan oleh guru-gurunya menamatkan aktiviti mereka dan bersiap-siap pulang.

Ketika mereka bersiap-siap, rakan-rakannya berasakan ada sesuatu perubahan pada Rohani yang tidak lagi ceria dan hanya mendiamkan diri. Rohani ditegur oleh ustazah akan tingkah lakunya aneh seperti matanya sentiasa terbeliak dan memandang ke kiri dan ke kanan seperti berada dalam ketakutan.

Dia mengatakan bahawa dia tiada apa-apa tetapi berasakan ada sesuatu yang mengekorinya. Setelah beberapa ketika, mereka pulang ke rumah masing-masing setelah tiba di sekolah.

Setibanya di rumah, Rohani disambut gembira oleh ibu bapanya, namun ibu bapanya kehairanan melihatkan perubahan sikap Rohani yang berubah. Rohani terus masuk ke biliknya dan terus sahaja tidur seawal 9 malam.

Pada keesokan paginya (Ahad), Rohani tidak mahu bangun dan kelihatan bengis lalu marah-marah apabila melihat ibu bapanya. Rohani jelas berubah, tidak seperti dirinya yang sentiasa menghormati dan beretika ketika bersama ibu bapanya.

Ibu bapanya cuba menenteramkan Rohani, dan memimpinnya ke bilik air untuk mandi dan berwuduk. Kemudiannya, dia disuruh bersolat oleh ibu bapanya.

Ketika bersolat, Rohani berada dalam kegelisahan dan tidak tahan akan kepanasan yang datang tiba-tiba daripada kepala hingga turun ke kaki. Rohani terus sahaja pengsan setelah menahan kepanasan itu. Secara kebetulan, ibunya yang masuk ke bilik Rohani untuk memeriksanya, terkejut melihat Rohani yang terlantar di atas sejadah.

Ibunya menjerit memanggil si bapa apabila melihat kejadian tersebut. Si bapa mengejutkan Rohani daripada pengsannya, lalu dia tersedar tetapi dengan matanya yang terbeliak dan mula berbahasa Tamil serta kebengisan.

Ibu bapanya mula kaget melihatkan situasi itu lalu membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepada Rohani sehingga berlakunya kerasukan jin itu sepenuhnya dalam diri Rohani. Rohani kini lebih bengis dan garang lalu mula memaki-maki ibu bapanya dalam bahasa Tamil.

Keadaan semakin tidak terkawal apabila Rohani yang dirasuk itu meronta-ronta dan membaling barang ke arah ibu bapanya. Bapa Rohani menghubungi seorang kawannya bernama Haji Salim yang tinggal berdekatan rumah Cikgu.

Lazimnya, Cikgu Ilham akan menghormati dan mengutamakan orang tua dalam menjalankan sesuatu rawatan kepada pesakit. Tetapi Haji Salim yang juga pengamal perubatan Islam telah memberi laluan kepada cikgu untuk memulakan rawatan pada Rohani.

Seperti biasa, cikgu Ilham memulakan bacaan basmallah, istihgfar dan ayat-ayat Taawudz kepada mangsa. Jin itu mula memaki-maki cikgu dengan bahasa Tamil dan bahasa Melayu dengan pelat Tamil.

Cikgu meletakkan tangan di atas ubun kepala Rohani dan merugyah dengan ayat-ayat suci Al-Quran. Jin Hindu itu (Rohani) mengelepar kesakitan dan merintih dalam bahasa Tamil. Cikgu Ilham pun mula memarahi jin itu;

"Keluar kau, jangan duduk (tinggal) di sini!"

Jin itu berdegil dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Cikgu Ilham pun membaca ayat-ayat Azab dan ayat membakar Jin. Jin itu meraung kesakitan dan menangis. Cikgu pun bertanya;

"Siapa kau!"

"Nama aku Subra" Katanya dalam pelat Tamil.

"Apa agama kamu?

"Agamaku Hindu."

"Mengapa kamu memasuki tubuh badannya?!"

"Dia melanggar aku dalam air tersebut ketika aku mandi di situ."

"Kaulah sebenarnya bersalah kerana manusia tidak nampak akan kamu dan kamulah sepatutnya mengalihkan diri kamu."

 Jin itu cuba melawan Cikgu Ilham. Cikgu Ilham terus membacakan ayat rugyah dan memohon petolongan-Nya sehingga keluarlah asap kecil pada kepala Rohani itu. Jin itu mengerang kesakitan yang amat sangat. Cikgu Ilham bertanya lagi;

"Di mana asalmu?"

"Aku datang dari sebuah kuil Hindu yang tidak jauh dari tempat tersebut."

"Kenapa kau berada di sungai tersebut pula?"

"Aku memang berniat hendak memasuki tubuh sesiapa sahaja yang mandi di sungai itu."

"Jadi, selama ini, sudah banyak kau lakukan perkara keji ini! Untuk apa kau lakukan?"

"Aku ingin makan darah haid."

"Bukankah kamu sudah diberikan darah oleh dukun di tempat kamu?"

"Ya, tetapi masih tidak mencukupi."

"Kau boleh ambil darah-darah yang lain?"

"Aku mahu ambil darah daripada manusia suci."

"Cukup. Aku tidak mahu berbicara dengan kamu. Keluar kamu dari badan manusia itu!"

Jin itu tetap berdegil. Cikgu Ilham bertindak dengan menyeksa jin itu menggunakan ayat-ayat Azab dan beberapa teknik menyentap jin tersebut menggunakan kain pelekat.

 Sewaktu dalam sentapan itu, jin itu mengerang kesakitan yang amat sangat. Setelah cikgu menyentapnya dengan kuat, Rohani pun pengsan dan jin itu pun terkeluar dari tubuhnya.

Rohani pun sedar daripada rasukan dan mula berasa sihat seperti sediakala. Cikgu Ilham menyediakan garam dan limau sebagai mandian buat Rohani. Ibu bapanya berasa gembira atas pemulihan Rohani itu.

Secara kesimpulannya, jadilah Al-Quran itu sebagai bekalan dan panduan ke mana-mana jua kita pergi. Bacalah dengan penuh keikhlasan untuk memohon perlindungan daripada Allah.








Friday 6 December 2013

Sihir Bomoh Siam

Salam muhibbah dan salam sejahtera.

Kisah kali ini berdasarkan pengalaman cikgu ketika merawat seorang pesakit yang merupakan seorang lelaki yang berjawatan tinggi dalam salah sebuah kilang gergasi di kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Kisah ini bermula apabila Azmi (bukan nama sebenar) memarahi salah seorang pekerjanya dengan kata-kata kesat kerana melakukan kesilapan besar dalam kilang. Azmi terkenal sebagai orang atasan yang kurang disenang kerana keceluparan mulutnya. Pekerja yang dimarahi tersebut berasakan maruah bagai tercalar disebabkan oleh kata-kata Azmi.

Selang dua minggu selepas kejadian itu, Azmi mula berasakan perubahan aneh pada tubuh badannya. Pada permulaannya, tanda awal yang dirasakannya ialah rasa tercekik di celah-celah kerongkongnya dan mula berasakan luka-luka dan bengkak-bengkak pada tubuh badannya.

Sebagai orang berada dan berpendapatan tinggi, Azmi selalu cuba mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta, tetapi tetap gagal mengesan punca penyakitnya. Pelbagai kaedah rawatan moden dan alternatif telah dicuba olehnya, tetapi tetap gagal dan lebih menyedihkan, kulitnya mula berkudis dan bernanah serta mengeluarkan cecair busuk pada kaki dan badannya.

Azmi sering mengerang kesakitan setiap malam seolah-olah kulitnya telah dibakar. Telah banyak pusat rawatan Islam yang dicuba olehnya. Biarpun ada kesan dan perubahan daripada rawatan tersebut, tetapi tidak cukup untuk mengubati kesakitannya.

Azmi terpaksa mengambil cuti lebih daripada enam bulan. Jari -jemarinya juga mulai berkudis dan menghitam. Azmi cuba mencari penawar sehinggalah suatu hari, dia telah dipujuk oleh kawannya untuk datang menemui cikgu.

Kali pertama cikgu bertemunya, cikgu termenung seketika dan bermonolog dalaman simpati kepada si mangsa ini. Cikgu memanjatkan doa agar diberikan bantuan dan petunjuk untuk menolong Azmi.

Cikgu terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan memegang seluruh tubuh badan mangsa dengan penuh simpati. Biarpun Azmi mengerang kesakitan dalam suara yang lemah, cikgu berasakan ada sesuatu yang datang dan memasuki tubuh badan cikgu ketika meruqyah pesakit tersebut.

Ada sesuatu benda tajam menusuk masuk ke dalam badan cikgu. Cikgu meneruskan juga bacaan Al-Quran dan bermohon untuk diberikan penyembuhan dan petunjuk sehinggalah keluar serbuk-serbuk besi berwarna dengan banyaknya pada tubuh dan kakinya.

Lantaran itu, jin dalam badan mangsa bertempiran dan berkomunikasi dalam bahasa Siam dengan penuh kemarahan dan benci.

Cikgu memberikan amaran kepada jin itu supaya keluar, tetapi jin tersebut enggan. Ujar jin itu dalam dialek Melayu-Siam, jin itu mengugut untuk membunuh cikgu jika merawat pesakit itu. Akhirnya, cikgu menggunakan kekerasan dengan mengazab jin tersebut dengan ayat Al-Quran sehingga Jin itu kesakitan.

Namun, penyihir empunya jin membalas kembali sehinggakan ikan peliharaan cikgu mati serta-merta. Itulah keganasan ilmu hitam yang digunakannya.

Walaupun begitu, cikgu meneruskan seksaan demi seksaan terhadap jin tersebut sehingga jin itu terpaksa mengaku bahawa dia ialah jin besi bat (besi suci dan keramat yang dipuja di  dalam kuil sebagai kepercayaan).

Cikgu pun memaksa jin itu mendedahkan identiti penyihir mangsa, dan jin itu menjawab;

"Aku diupah oleh Kamarul (bukan nama sebenar). Kamarul sangat benci kepada kau dan ingin membunuh kau (merujuk pada Azmi)!"

Cikgu memberikan amaran kepada jin itu untuk keluar dari tubuh mangsa serta mengeluarkan besi bat dalam badan mangsa. Akan tetapi, jin tersebut tidak mampu mengeluarkannya kerana dikawal oleh Tok Sami di Siam.

Cikgu terpaksa menggunakan kekerasan dengan menyeksa jin dan juga penyihir di sana (Sami) sehingga suara Sami di Thailand itu, bergema pada mulut mangsa (seperti speaker). Berkat kesabaran dan laungan azan berulang kali, jin itu mengelupur dan nanah di kaki mangsa mengeluarkan air hitam yang sangat busuk (air suci pujaan sami Siam) sehinggalah jin itu terpaksa dihapuskan oleh cikgu.

Azmi pengsan dan kemudian sedar kembali daripada rasukan itu. Selepas itu, cikgu Ilham memandikan Azmi sebagai membersihkan dan merawati dirinya. Saat Azmi dimandi, dia memuntahkan cecair hitam yang busuk.

Azmi meneruskan rawatan mandian selama empat kali berturut-turut sehingga berasa pulih sedia kala. Selepas itu, beliau menjalani terapi selama tiga bulan dan kembali cergas untuk meneruskan kehidupannya.

Pengajaran yang ingin cikgu sampaikan ialah janganlah kita terlalu marah mengikut perasaan bukannya iman terhadap seseorang kerana mereka juga insan seperti kita yang mempunyai maruah dan harga diri yang tidak boleh diaibkan dalam khalayak umum.

Thursday 28 November 2013

Sihir pembenci (Versi peniaga)

Salam muhibbah dan salam sejahtera.

Pada kali ini, cikgu ingin berkongsi suatu kisah yang pernah cikgu alami. Cikgu ingin mencurahkan pengalaman cikgu sepanjang melibatkan diri dalam perubatan. Fokus kita kali ini ialah sihir pembenci dalam perniagaan.

Lazimnya, setiap kes yang cikgu hadapi berbeza-beza mengikuti hari dan bulan. Kadangkala seolah-olah menjadi suatu musim atau wabak penyakit yang melanda manusia pada hari ini. Antara yang kerap berlaku pada bulan ini ialah sihir pembenci dalam perniagaan.

Puan Halimah (bukan nama sebenar) menjalankan perniagaan kecil iaitu warung kuih-muih yang dikatakan maju dan laris di tempatnya. Dia mampu menggajikan lapan orang pekerja. Puan Halimah berasa syukur dengan kemurahan rezeki yang dilimpah-Nya selama 20 tahun dia berkecimpung dalam perniagaannya. Namun, pada tahun 2011, bermulalah titik hitam dalam kehidupan dan perniagaannya kerana kemerosotan perniagaannya saban hari. Malah, pekerja-pekerjanya juga mengalami masalah kesihatan pada kaki secara tidak semena-mena.

Puan Halimah juga turut mengalami kesan tersebut ; kakinya sakit, migrain dan berat bahu. Sebagai kesannya, para pekerja terpaksa berhenti kerana tidak tertahan kesakitan. Lebih teruk lagi, dia mula kehilangan pelanggan sehingga mula membawa kerugian.

Puan Halimah berulang-alik ke hospital mendapatkan rawatan namun hasilnya masih hambar. Akhirnya, puan Halimah dicadangkan oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan Islam di Darul Nur Syifa Insan.

Setelah kedatangan puan Halimah ke tempat cikgu, dia mengutarakan permasalahannya kepada cikgu. Selepas mendengar keterangannya, cikgu pun memulakan proses rawatan dengan membaca ayat-ayat Al-Quran dan meletakkan tangan cikgu pada atas kepala dan kakinya.

Sewaktu cikgu merugyah pesakit tersebut, badan pesakit itu mengeletar dengan kencang selama hampir lima minit tanpa berhenti diringi erangan kesakitan dalam nada suara yang garau. Bererti, berlaku rasukan jin dalam tubuh badannya.

Cikgu meneruskan bacaan rugyah tersebut menyebabkan jin itu mengerang kesakitan. Lalu, bertanyalah cikgu pada jin tersebut;

"Siapa kamu?"

Jin itu tidak menjawab dan hanya mengeleng-gelengkan kepala. Cikgu pun membaca ayat-ayat azab pada jin tersebut. Jin itu menjerit kesakitan dan terus merayu untuk melepaskannya.

"Siapa kamu ini?" Ulang cikgu berkali-kali. Kali ini barulah jin itu memberi respon.

"Aku diupah oleh seorang makcik Zaiton (bukan nama sebenar) kerana aku (wakil empunya) mahu tapak kedai itu!"

"Mana boleh kau menghukum orang dan menyakiti orang sedemikian!"

"Aku tak peduli kerana aku mengikut arahan tuanku!"

"Siapa tuan kau?"

"Kenapa kau ingin tahu?" Kata jin itu, sinis.

"Baiklah, kalau kau engkar, akan aku azabkan kau dengan ayat Al-Quran."

"Baiklah, baiklah. Aku beritahu bahawa tuanku ialah tok batin orang Asli."

"Bercakap kau dengan bahasa orang Asli!" Kata cikgu untuk kesahihan ujaran jin itu.

Dia pun bercakap dalam dialek orang asli. Memang benar kata jin itu.

"Benarkah kau dan rakan-rakan kau (Jin lain) membuatkan pekerja-pekerjanya (puan Halimah) sakit?"

Jin itu menganggukkan kepalanya.

"Dengan apa tuan kamu buat (menyihir mangsa)?"

"Tuan aku menggunakan bahan-bahan berbisa seperti getah pokok beracun, daun keladi dan dibungkus bersama jarum, daun semalu dan duri-duri di dalam hutan serta diikat bersama dengan batu besar, sederhana besar lalu dipuja dan diletakkan di dalam tempayan. Ditutupnya rapat-rapat tempayan itu."

Cikgu pun mengarahkan jin itu membuktikan kebenaran kata-katanya. Jin itu berdegil dan enggan membuktikannya. Cikgu terpaksa meneruskan bacaan rugyah atas pesakit sehingga kaki pesakit itu mengeluarkan jarum yang banyak melalui rongga kakinya serta diiringi muntah yang berwarna hitam yang mengandungi duri dan darah.

Cikgu meneruskan lagi rugyah kepada pesakit sehingga badan pesakit mengeletar dengan kencang sambil memuntahkan bendalir hitam dengan begitu banyak. Akhirnya, jin itu mengaku kalah dan ingin keluar daripada badan pesakit itu.

"Aku kalah, aku sakit! Aku nak keluar!" Erangan jin itu yang kesakitan.

Cikgu pun memberikan peluang kepada jin itu keluar dengan syarat, jin itu tidak boleh lagi masuk dalam badan pesakit itu lagi. Namun, jin itu tidak dapat keluar kerana diikat oleh tuannya.

Cikgu membantu jin itu keluar dan melepaskan ikatan sihir daripada tuannya dengan membaca surah Yasin serta berdoa untuk memudahkan proses pengeluaran jin tersebut. Akhirnya, cikgu pun mengazankan telinga pesakit sebanyak tiga kali. Cikgu meniupkan telinga pesakit lalu dia rebah dan pengsan dalam ketika itu. Setelah beberapa ketika, pesakit mula sedar dan mulai rasa letih dan tidak mengetahui langsung apa-apa yang berlaku.

Puan Halimah berasa syukur dan tidak lagi kesakitan pada kakinya. Seluruh tubuh badannya berasa ringan dan kembali kepada sediakala. Cikgu juga bersyukur kepada Allah kerana telah mengabulkan doa cikgu.

Secara kesimpulannya, apa-apa pun dalam kehidupan kita, sentiasalah membasahi bibir kita dengan zikir Allah serta sentiasa membaca ayat-ayat suci Al-Quran Nur Karim. Iringilah dengan tawakal dan doa serta tidak pernah berputus asa.

Wallahualam...




Monday 14 October 2013

Salam AidilAdha



Tuesday 1 October 2013

Perlukan bantuan?

Mencari penawar untuk penyakit berkaitan gangguan Jin dan makhluk halus?
Insya Allah, jangan cepat berputus asa dan tabahkan hati. 
Bawalah air mineral untuk didoakan oleh cikgu. 
Ikhlaskan hati anda.
Lokasi : Kuala Lumpur, Sri Gombak, Sentul dan kawasan berhampiran. Hubungi saya seperti nombor yang tertera di blog ini.
 

Wednesday 14 August 2013

Selamat Hari Raya


Monday 8 July 2013

Tangkal

Tahukah anda - penggunaan tangkal adalah haram di sisi agama. Namun ramai yang harus tahu sekiranya jin tangkal tersebut sudah sebati maka apabila si pemakai sudah tua maka akan berlaku sakit dan sukar menghadapi kematian. Maka buang segera dan matikan jin tersebut.

Bunian

Renungan bersama, ada dalam kalangan kepercayaan masyarakat melayu yang masih percaya dgn tipu helah jin. ,seperti "Percaya akan anak mereka didampingi dengan orang ghaib iaitu BUNIAN."  Kononnya anak mereka mendapat perkhabaran daripada sang bunian dan boleh mengubati orang sakit dan tahu apa-apa yang berlaku.
 
Itulah yang jin sebenarnya.  Tiada dalam mana-mana al-Quran, kitab dan hadis yang menyebut tentang bunian tersebut. Cikgu berharap kita hindarilah daripada perbuatan syirik dan dosa tersebut.

Kanser - Kaedah lain.

Tahukah anda, alunan al-Quran yang kita baca akan mengeluarkan getaran dan tenaga yang kuat dan melantun kepada mereka yang mengidap penyakit kronik seperti kanser.

Dan setiap tenaga akan mematikan sel-sel kanser dan akan keluarkan sel-sel tersebut melalui nafas dan buang air kecil dan air besar.


Maka bacalah al-Quran dengan selalu dan jangan tinggal.

Sakit kulit

Renungan buat anda.. 

Sakit kulit adalah sakit yang sukar sembuh. Maka, ketahuilah sakit kulit di percayai penyakit keturunan akibat saka. Namun ada juga akibat sihir seperti panau, fungus, kudis dan apa saja jenis sakit kulit.

Berwaspadalah...

Sakit dari kecil?

Adakah anda tahu bahawa anak-anak anda yang masih kecil seperti sekolah rendah atau menengah sering mengadu lenguh bahu yang begitu lama sudah bertahun.

Maka ibu bapa kebanyakkannya tidak mengendahkan. Ingatlah bahawa tanda-tanda ini adalah keberadaan jin pada badan anak tersebut.

 Kesannya akan berlaku menjadi penyakit fizikal.apabila mereka dewasa.

Monday 1 July 2013

Penyakit kanser

Salam muhibbah buat pembaca,

Setiap hari, cabaran demi cabaran akan ditempuhi manusia dengan ragam dan dugaan daripada Allah swt. Catatan cikgu Ilham pada kali ini mengenai pengalaman dalam mengkaji setiap jenis penyakit dan cuba mencari jawapan untuk setiap penyembuhan.

Pada hari ini, penyakit kanser sering menjadi bualan orang ramai dan masyarakat di seluruh dunia, bahkan doktor dan saintis masih belum mengetahui punca sebenar yang boleh disabitkan dengan penyakit kanser.

Penyakit kanser sering dikaitkan dengan keturunan, cara pemakanan tidak sihat, dan gaya hidup tidak sihat serta ketidakseimbangan genetik dalam hormon dan lain-lain punca spekulasi yang dispekulasikan oleh doktor.

Namun hari ini, cikgu Ilham meyakini hasil daripada pandangan kajian dan beberapa bukti dalam kitab Al-Quran yang menyatakan bahawa penyakit kanser berpunca daripada gangguan makhluk halus, jin saka dan sihir. Lazimnya, penyakit ini ialah akan dibawa oleh jin-jin status tinggi dalam kalangan mereka.

Jin-jin ini adalah amat kejam, zalim yang membawa sumpah mereka untuk membunuh manusia. Jin-jin ini akan meresapi sel darah merah dan ke setiap urat saraf serta menjadikan tempat untuk membunuh di bahagian dada manusia. Maka itu, kemuncak kepada penyakit kanser itu, dia akan menghidap dada berkuman, otak yang berkuman yang membuatkan sebahagian pesakit kanser akan hilang ingatan dan sebahagiannya akan lumpuh sistem imunasi badan.

Kebanyakan pesakit akan mendapat rawatan moden di hospital. Perbuatan ini tidak akan berubah apa-apa sebaliknya membawa banyak keburukan dengan menggunakan perubatan moden seperti pengambilan morfin, radioterapi, dan kemoterapi yang berakhir dengan penderitaan dan menemukan ajal maut.

Harus kita renungkan dan kita yakini Al-Quran sebagai penyembuh segala penyakit seperti membaca surah-surah tertentu, seperti surah Al-Baqarah keseluruhannya, surah Ad-Dukhan keseluruhannya dan surah Yasin keseluruhannya sebagai penyembuh yang mutlak daripada Allah swt.

Kebanyakan pesakit tidak menyedari sebelum serangan kanser ini berlaku, ia telah memberikan petanda iaitu 5 tahun lebih awal seperti anggota-anggota badan seperti digigit sesuatu dan meninggalkan kesan lebam biru kehitaman dan akan kesakitan tulang belakang, pening kepala amat sangat, serta mimpi pelik di samping akan merasakan pertukaran hormon dan menderita penyakit berpanjangan.

Itulah petanda yang harus kita hindari dan berwaspada. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Ada 2 jenis kanser yang harus kita sedari. 1 daripada sihir iaitu perbuatan khianat yang dilakukan oleh penyihir dan satu lagi kanser yang berasal daripada saka nenek moyang. Kebanyakan jin kanser ini sangat licik dan bijak. Ia pakar menipu golongan-golongan berpendidikan moden seperti doktor dan golongan yang berfikiran Barat. Maka itu, jin-jin ini mudah menyerang, membunuh setiap pesakit kanser kerana mereka tidak dibentengi dengan ayat Al-Quran dan sebagai akibat, penyakit dikatakan kanser ini bukanlah penyakit yang sebenar, tetapi akibat gigitan jin yang ganas. Maka mereka memberi ubat yang salah dengan penyakitnya. Jadi, timbulkan pelbagai komplikasi kepada pesakit-pesakit seperti keguguran, sel-sel baik akan mati, hilang ingatan dan paru-paru berkuman.

Maka itu, majoriti pesakit-pesakit kanser ini gagal menemukan penyembuhan sebenar. Justeru, penghubung jambatan kita kepada Allah adalah melalui solat, berdoa, bertawakal dan membaca Al-Quran ialah proses penyembuhan yang sebenar dan betul. Sebagai umat Islam, pergantungan kita kepada Allah adalah yang sebenar-benarnya dan tidak diragui lagi.

Sentiasalah kita membaca ayat Al-Quran untuk dimandikan pada badan pesakit dan diminum seharian. Insha Allah, dalam sebulan, kita akan dapat melihat perubahan sehinggalah bulan ketiga.

Bagi mereka berasa hampa atau putus asa, janganlah bersedih kerana cikgu akan membantu anda di Darul Nur Syifa Insan.







Monday 24 June 2013

Demam panas

Salam muhibbah buat pembaca yang dirahmati,

Faktor cuaca pada hari ini memainkan peranan dan menentukan setiap kehidupan manusia seharian. Seperti panas yang terik, wabak demam sering melanda manusia manakala hujan yang lebat juga turut mendatangkan kesan sama. Tidak ramai mengetahui ketika itulah jin-jin sering berbodong-bodong turun mengancam manusia dan membawa pelbagai penyakit yang berjangkit seperti mereka meludah manusia, menampar manusia, merasuki manusia dan melakukan melakukan pelbagai penyamaran yang sukar diterima seperti membentuk Kumar dalam badan manusia dan menyebabkan manusia berpenyakit.

Maka ramailah penghidap demam sukar sembuh kerana penyakit itu dirasuki jin walaupun mereka sudah pergi ke hospital dan ditahan di wad berulang kali. Justeru, ketika demam, bentengilah tubuh badan dengan ayat-ayat al-Quran dengan tidak jemu-jemu. Ramai juga pesakit yang datang berjumpa dengan cikgu Ilham setelah menemukan jalan kebuntuan, Insha Allah, kebanyakan mereka sembuh seperti sedia kala.

Selamat Nisfu Shaaban

Dengan penuh kasih sayang, cikgu Ilham mengucapkan selamat menyambut Nisfu Shaaban kepada semua pembaca yang disayangi dan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak.


Perihal saka dan kesannya

Salam muhibbah buat pembaca yang dirahmati sekalian,

Saka dikaitkan dalam sejarah pembudayaan Melayu yang sering ditakuti dan digeruni oleh nenek dan moyang kita terdahulu.

Sejarah tentang saka ini boleh dikategorikan sebagai suatu sejarah tua berunsurkan mistik dan banyak menyimpan rahsia-rahsia tersendiri. Saka selalu disebut-sebut oleh Ulamak sebagai suatu peninggalan atau warisan ilmu yang terkeluar daripada hukum syarak Islam yang mengandungi unsur-unsur makhluk halus seperti jin Islam atau kafir yang diamalkan atau digunakan dengan ilmu tersebut untuk tujuan tertentu.

Mungkin saka ini terbentuk dari ribuan tahun hasil daripada kepercayaan animisme dan ilmu-ilmu tua  yang mempunyai unsur-unsur memuja jin-jin serta perjanjian antara manusia dan jin dan juga memberi sesajian kepada jin dalam tempoh ditetapkan berdasarkan perjanjian dahulu.

Saka ini boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu yang diwarisi secara langsung iaitu mengetahui ilmu itu diwarisinya. Yang satu lagi, ilmu dan saka itu diwarisi secara tidak langsung iaitu seseorang itu tidak sedar dia memiliki saka tersebut.

Pemindahan saka sering dikaitkan melalui guru ke anak murid, datuk ke cucu atau waris berdasarkan pemilihan oleh empunya saka, melalui proses ritual yang ditetapkan dan seperkara lagi perpindahan saka ini tidak melalui proses ritual sebaliknya diwarisi secara tidak ketahui seperti setelah salah seorang ahli keluarganya meninggal dunia, dengan automatiknya, jin-jin tersebut akan berpindah ke pewarisnya secara paksa dan tersembunyi.

Antara simptomnya, seseorang akan didatangi mimpi yang pelik, sedih, menakutkan, yang sentiasa berulang-ulang menyampaikan mesej dalam bentuk pembayang seperti dalam mimpi kita dikejar dan diancam oleh makhluk halus dan tiba-tiba diselamatkan oleh orang berjubah putih atau diselamatkan oleh panglima berpakaian hitam. Ada juga mimpi yang kedua, seseorang berjubah akan sering mengajar ilmu agama, dan beberapa potong ayat al-Quran yang tidak mengikut susunan dan protokol. Dan ada yang bermimpi pula kedatangan wanita yang cantik yang sering mendukung anak dan membantu kita di dalam kesusahan pada mimpi tersebut, dan anaknya nanti diserahkan kepada si pemimpi, lalu ia menyayangi anak itu dan mengasihinya tanda terima kasih. Ada juga bermimpi seperti makhluk separuh manusia dan binatang seperti harimau, ular, burung, gajah juga dikaitkan dengan saka animisme.

Banyak kes penderita saka mengalami pelbagai bentuk mimpi yang sukar untuk diceritakan. Antara tanda saka yang sering dialami oleh pesakit-pesakit seperti selalu panas baran, sering sedih keterlaluan, kerap merendah diri, acap kali bercakap seorang, sentiasa beremosi dan kerap melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan berakhir kegagalan. Kebanyakan mereka kecewa kerana perkara mudah dan seharusnya boleh dibuat akan gagal.

Bagi tanda-tanda pertengahan pula, berlaku kerunsingan yang melampau sehingga hilang ingatan dan menjadi tidak siuman. Tanda kemuncak pula, seseorang itu kemungkinan akan sakit seluruh badan dan tidak berdaya untuk bekerja, tidak mampu berfikir waras dan akhirnya sakit itu berlarutan dan membawa ajal atas kehendak Allah swt.

Perkara pelik bagi saka itu di mana jin-jin saka ini lazimnya sentiasa menawarkan kebaikan dahulu seperti kekayaan, daya penarik, dan kelebihan mengubati orang. Dalam fenomena hari ini, saka ini menjadi suatu bebanan kepada masyarakat moden seperti saka mempunyai perjanjian daripada keturunannya yang amat pelik seperti menawarkan keturunannya sekiranya saka itu berjaya menunaikan hajat si pemakai iaitu generasi ketujuh sebagai dalang mangsa, dianggarkan 300 tahun, yang pernah dilaporkan beberapa kes kehilangan bayi daripada perut ibu mengandungi walaupun doktor mengesahkan bayi itu menjangkau 6 bulan, tetapi jin saka itu datang dalam mimpi dalam bentuk manusia dan mengambil bayi itu dalam mimpi, akhirnya keesokan harinya, si ibu kehilangan anak kandungannya.

Ada juga kes saka yang begitu mistik apabila perjanjian itu menjangkau ratusan ke ribuan tahun, si ibu akan melahirkan anak yang berbentuk binatang seperti ular, anjing atau haiwan yang lain.

Maka itulah nasihat cikgu kepada pembaca budiman, kita haruslah sentiasa menginsafi akan peristiwa-peristiwa yang lalu dan sentiasa mengingati perintah Allah dan sunnahnya, dan mengelakkan segala perbuatan kufur.

Bentengilah diri dengan ayat-ayat suci, berselawat ke atas Nabi Muhammad saw, bersihkan hati, sucikan diri, bersolat dan yakin kepada Allah yang sentiasa membantu kita. Segala sihir dan saka tidak akan berupaya melawan orang beriman. Mereka akan terus hilang dan lenyap dengan kekuasaan dan kerahmatan Allah.

Semoga segala catatan cikgu Ilham memberikan pengajaran dan pedoman dalam meniti kehidupan.





Saturday 25 May 2013

Bahaya sihir puak etnik

As-salam buat pembaca yang dirahmati,

Dalam banyak peristiwa dan pengalaman cikgu Ilham, marilah kita berkongsi pengalaman ini bersama-sama mengenai kejahilan manusia pada zaman moden ini. Sihir orang asli yang dikatakan antara sihir tertua di dunia, kerana penggunaan sihir ini secara amalan turun-temurun dengan memuja setiap roh jahat, jin-jin hutan hutan belantara, di bukit-bukau, di sungai dan di laut, serta menyembah mereka yang telah mati juga ketua-ketua pribumi mereka yang lampau.

Kebanyakan mereka yang terkena sihir ini memang amat mencabar dalam proses pemulihan mereka. Perlukan ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Antara tanda kritikal yang ada pada seseorang itu ialah mengalami halusinasi yang tinggi seperti melihat lembaga hitam yang datang, rasa ingin terjun di tempat tinggi, perasaan rungsing dalam hati yang tidak terkawal, rasa terancam seperti dirinya terasa dicekik, ingin dibunuh, rasa dihumban hingga seseorang itu merasakan dirinya hilang pedoman menyebabkan perawat mengalami kesukaran untuk merawat dan mengawal pesakit itu.

Nasihat cikgu Ilham kepada sesiapa yang mengalami simptom ini, banyakkanlah membaca ayat pembentang seperti keseluruhan surah Al-Baqarah yang perlu dibaca setiap hari selama sebulan dan diiringi dengan surah Al-Zalzalah. Letakkanlah segelas air di hadapan untuk diminum dan sebaldi air untuk dimandikan. Sekuat mana pun kebatilan itu, pasti akan tewas pada mujizat Quran dan rahmat Allah Taala.

Monday 20 May 2013

Sihir berkait

As-salam para pembaca budiman.

Mengikut kelaziman peristiwa, cikgu Ilham ingin berkongsi pengalaman dengan anda semua berdasarkan kajian kes, sihir akan ditujukan kepada orang yang dihajati sahaja. Maka seseorang itu akan menerima kesan angkara sihir tersebut. Namun, masih perlu kita ingat bahawa jin-jin ganas dan kejam juga boleh menyerang kepada sesiapa walaupun tanpa dikenali seperti contoh pengamal sihir santau atau pewaris sihir santau. Mereka akan cuba melepaskan sihir itu kepada sesiapa sahaja sebagai misalan di kedai-kedai makan atau warung. Maka, sesiapa sahaja yang masuk ke situ akan pasti merasakan kezaliman sihir. Mungkin seorang, dua atau lebih.

Bagi kajian kes kedua, seperti dalam sebuah keluarga, sang isteri yang terkena sihir sama ada dalam masa singkat atau lama, jin pada sihir itu boleh berjangkit atau berpindah pada ahli keluarga lain secara perlahan-lahan dan beransur-ansur. Hal ini telah dibuktikan oleh banyak kes sekeluarga mengamali kesakitan dan penderitaan yang lama, tidak diketahui oleh pihak keluarga tersebut. Lazimnya, mereka akan menumpukan kepada pesakit yang disihir sahaja, namun mereka terlupa untuk mengubati ahli keluarga yang lain. Ia telah ditunjukkan oleh Allah sebenarnya seperti keluarga tidak aman, seluruh keluarga biasa demam-demam, murung dan beremosi, juga tidak menumpukan perhatian, dan inilah tanda-tanda awal daripada Allah, namun tidak disedari oleh semua.

Maka, saranan cikgu Ilham, marilah kita sentiasa bermurraqabah iaitu mengintai diri dan keluarga kita serta berubatlah walau di mana-mana jua bersama-sama seluruh keluarga kita kerana kita enggan tertipu dengan penyamaran dan tipu helah jin dalam kehidupan seharian.

Sihir 3 dalam 1

As-Salam wahai si pembaca sekalian,

Dewasa ini, cikgu Ilham ingin berkongsi pengalaman dengan pembaca-pembaca budiman, pesakit-pesakit dan juga para penuntut pengkhususan bidang ini. Ada pelbagai jenis sihir dan ancaman yang kita hadapi pada hari ini. Menurut pengalaman cikgu, antara sihir yang ditakuti ialah sihir bertindan atau sihir bertindih kerana si pesakit atau responden mahupun perawat tidak dapat mengesan sihir tersebut.

Sihir bertindan ini diyakini hasil daripada tindak balas 3 jenis sihir yang menyerang dan memasuki badan pesakit secara serentak. Si pesakit akan dikaitkan dengan simptom kesan kesakitan berada di mana-mana kawasan tubuh badannya sehingga pesakit tidak ketahui yang mana satu harus dirawat terlebih dahulu. Akibatnya, si pesakit akan mengalami tekanan emosi dan jiwa, serta penyakit yang berpanjangan terpaksa ditanggung bertahun-tahun lamanya. Kajian ini berdasarkan pandangan saya dan ulama-ulama Mutakba menjelaskan bahawa sebahagian besar serangan ini terdiri daripada latar belakang pesakit sejak kecil yang mempunyai saka atau pernah terkena sihir secara langsung atau tidak.

Sebagaimana yang kita ketahui, pesakit-pesakit ini akan menghadapi suatu proses penerobosan benteng diri kerana pertahanan diri semula jadi itu telah pun bocor dan pembaikpulihan benteng diri tidak pulih dengan sempurna seperti tidak dipulihkan dengan zikrullah, bacaan Al-Quran yang banyak dan beristiqomah. Apabila pertahanan rohani seseorang itu rapuh, atau masih mempunyai atau lubang atau proses pemulihan belum cukup bersih, maka apabila mereka menjejak usia dewasa, mereka terkena serangan lain seperti sihir pengasih, santau, hatta mudahlah sihir lama bertindih dengan medium sihir baharu dan mengakses seluruh unsur negatif di luar memasuki badan pesakit. Hatta, pesakit boleh terkena 4 jenis jin atau sihir, mungkin lebih daripada itu.

Maka, saranan daripada cikgu Ilham ialah si pesakit perlu banyak bersabar dan sentiasa beristiqomah juga meyakinkan diri serta bermohon kepada Allah memberikan kekuatan dan diberikan pertolongan dalam apa-apa jua keadaan. Ini juga ialah suatu proses mempercepat penyembuhan. Adakalanya pesakit harus berubat berkali-kali, jua ada yang memakan masa 2 minggu, sebulan, 3 bulan hinggalah setahun.

Bagi saya, penyembuhan ini bukan sahaja pada kuasa Allah, mahupun tangan perawat (mualij), juga bergantung kepada kesungguhan pesakit itu, keyakinannya dan kesabarannya yang juga memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan.

Banyak kajian kes yang dilakukan oleh cikgu Ilham, banyak pesakit yang mengalami sihir bertindan 3 dalam 1 ini, gagal mencapai proses penyembuhan mereka kerana faktor emosi, kekecewaan, dan kekuatan rohani yang lemah. Akibatnya, mereka akan berjumpa dengan puluham perawat malah beratus-ratus, namun hasilnya pasti akan gagal juga kerana tidak memahami erti tawakal, sabar, dan reda.

Cikgu Ilham menyarankan supaya setiap pembaca haruslah mengetahui jiwa yang kental sahaja yang bersulamkan keimanan dan kesabaran yang boleh menghadapi ujian Allah.

Percayalah, setiap tawakal, kesabaran dan kesungguhan pasti membuahkan kejayaan. Amin.

Monday 29 April 2013

Tip-tip untuk mengenali kesan-kesan sihir

Tip-tip terbaik dan muntuk dalam mengenali kesan-kesan sihir daripada cikgu.

Sihir pemisah dan sihir pengasih.

Kes Satu
 
Kebanyakan masyarakat kita kini terkeliru dengan kesan sihir pemisah atau sihir pengasih. Cikgu Ilham ingin berkongsi pengalaman mengenai banyak pesakit bersangka bahawa sekiranya sang isteri dikenakan minyak pengasih, ramai berprasangka sihir itu sudah pasti melekat pada isteri tersebut. Memang benar kenyataan itu, tetapi ramai tidak tahu bahawa sihir (jin) itu hanya singgah sahaja pada badan isteri, tetapi yang menerima akibatnya ialah si suami; kerana jin tersebut akan menduduki badan si suami menyebabkan kesan seperti panas baran tiba-tiba, perasaan benci akan isterinya, sentiasa bersangka buruk kepada isterinya lalu akhirnya jatuh sakit.

Namun, kesan kepada isterinya pula tidak ada pada peringkat awal. Sebaliknya, isterinya akan mengalami mimpi-mimpi buruk dan kemuncaknya, dia akan jatuh sakit setelah suaminya sakit atau meninggal dunia.

Kes Dua

Kes-kes in agak terpencil seperti apabila sang isteri terkena sihir pengasih, sang isteri terus jatuh, gila, ataupun timbul penyakit kulit pada badannya.


Monday 22 April 2013

Kata-kata motivasi

"Ucapkanlah Basmallah setiap langkah pekerjaanmu supaya memperoleh keberkatan-Nya"

Mutiara Nasihat - Cikgu Ilham

Salam muhibbah dan sejahtera....

Sekian lama tidak kedengaran berita daripada saya, Cikgu Ilham dalam laman ini. Sekalipun begitu, saya selalu mengharapkan agar warga pelayar dan para pelajar berada dalam keadaan sihat dan dipayungi rahmat Allah.

Mutiara nasihat saya hari ini ialah ;

"Dalam setiap detik renungan, cikgu sentiasa mengingatkan semua pembaca dan pelajar supaya sentiasa bersyukur kepada Allah dalam setiap nikmat pemberian-Nya walau banyak atau sedikit, itu semua sebagai suatu ujian untuk kita tempuhi dengan penuh reda.

Kita harus ingat, ancaman jin dan syaitan sentiasa berkumandang dan berlegar di muka bumi ini untuk menyesatkan anak-anak Adam. Maka bekalan jiwa yang haruslah ada pada kita iaitu sentiasa berpaksikan al-Quran dan sunnah untuk menghadapi cabaran dan ujian yang getir dengan penuh keimanan dan keredaan Allah Azzawajala.

Bagi anda yang diuji Allah seperti sakit, difitnah, kefakiran, dan sebagainya, janganlah kamu berasakan Allah tidak menyayangi kamu, malahan Allah semakin dekat dengan kamu sebenarnya, untuk menaikkan martabat dan darjat keimanan kita semua.

Justeru, Cikgu Ilham menyeru kepada semua umat Islam agar senantiasa bersabar dan berjuang pada landasan Allah yang hak kerana kemenangan akan pasti berpihak kepada orang-orang yang benar dn bersabar. Malah, kurniaan besar rahmat Allah dengan penuh kebahagiaan yang dicampakkan dalam hati orang-orang beriman."
Insha-Allah.... Amin.

Saturday 26 January 2013

Selamat menyambut Maulidur Rasul

Selamat menyambut kelahiran baginda yang menyinari seluruh alam dan umat manusia dengan cahaya keimanan serta menjadi petunjuk sepanjang zaman.

Thursday 10 January 2013

Sihir Pembenci - Kisahku

Salam muhibbah wahai pelayar lamanku ini....

Kita telah berkongsi kisah lalu perbuatan khianat melibatkan sihir santau. Kini, saya ingin kongsikan pula kisah sihir pembenci yang berlaku pada si pejawat kerajaan juga pesakit yang saya rawati (2006).

Arif (nama samaran) yang berusia 36 tahun, beperwatakan menarik, agak tampan dan memiliki badan yang agak sasa. Dia begitu mementingkan penampilan diri, sehingga minyak wangi tiada sekalipun dilupanya untuk dikenakan pada badannya. Dia seorang pegawai di Jabatan Pengangkutan Jalan nun di belah Utara. Dia menikmati kehidupan seperti manusia yang normal, tetapi segalanya berubah setelah beliau dinaikkan pangkat.

Hendak dijadikan cerita, pada hari pertama, apabila selepas waktu Maghrib, ketika beliau mandi, beliau terasa seperti pedih di dalam dan permukaan badan serta pedih seakan luka, sedangkan tiada tanda sakit hatta cedera sedikit pun di badannya. Semakin hari semakin sakit dirasakannya.

Beliau akhirnya cuba mendapatkan rawatan di hospital bagi mengesan punca penderitaannya. Namun, doktor gagal mengenal pasti penyakit yang dihidapinya itu. Walaupun telah menjalani pemeriksaan terperinci seperti X-ray, MRI dan sebagainya, tetapi keputusannya tetap sama, tiada tanda mahupun penyakit.

Selepas beberapa bulan, simpton lain pula menjelma. Badan beliau akan menjadi busuk walaupun dia tidak berpeluh. Keadaan ini berlaku tanpa mengira masa, keadaan atau cuaca sekalipun.Bau badannya seakan bau hanyir darah dan busuk seperti bau longkang, bukannya bau cengis peluh. Reputasi pekerjaannya mula terjejas. Rakan-rakan sepejabat mula menjauhi beliau. Akibatnya, dia terpaksa mengambil cuti panjang. Walaupun begitu, isterinya masih setia bersama beliau pada saat-saat genting itu.

Susulan penderitaan itu, dengan kuasa Allah, beliau bertemu rakan lamanya ketika pergi ke pasar malam. Rakannya itu membawa beliau berjumpa dengan saya lalu meminta beliau membawa air mineral dan mula membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran. Beliau diberi minum lalu hanya selepas dua minit, dengan kuasa Allah dan doa perawat, badan pesakit itu rasa kepanasan sangat. Ajaibnya, pesakit itu mengerang kesakitan dan merasakan bahawa tubuh bagai digigit-gigit oleh makhluk. Maka, dibukakan baju pesakit itu dan terkejut melihatkan seluruh badannya mengeluarkan ribuan ulat sampah yang amat busuk.

Setelah itu, saya meruqiyah badan pesakit tersebut dengan ayat suci Al-Quran. Pesakit semakin mengerang kesakitan dan ulat-ulat itu keluar lebih banyak lagi dan berguguran di lantai dengan baunya amat busuk. Ruqiyah itu diteruskan lalu dimuntahkannya mengeluarkan ulat yang sama. Pada situasi seterusnya, beliau kerasukan lalu mula berbahasa Siam yang tidak diketahui. Jin yang merasuknya kesakitan dan marah.

"Siapa kau?" Kata saya.

Lalu terus dia berbahasa Melayu pelat Kedah-Siam dan berkata, "Aku datang dari sebuah Watt di Kedah."

"Kenapa kau sakiti dia"

"Aku benci dengan dia kerana dia mudah naik pangkat...." Selalunya, Jin akan mewakili niat pengupahnya, menjawab pertanyaanku itu.

"Sedangkan aku bekerja lama, tidak dinaikkan pangkat..." Sambung Jin itu.

"Kau datang dari bomoh Siam atau sami Siam?" Soal saya, terus.

"Aku datang dari sebuah perkampungan. Tuan aku seorang bomoh Siam yang telah banyak membunuh orang."

"Berapa ekor engkau dalam badannya?"

"Aku ada 35 ekor..."

"Dengan cara apa sihir dilakukan?"

"Aku dilakukan dengan menggunakan patung dan ulat daripada bangkai tikus yang mati serta sedikit abu mayat dibungkuskan dalam daun Keladi, diikat dengan benang tujuh warna lalu aku ditenggelamkan di dalam longkang menggunakan besi yang terikat."

"Sekarang, keluarkanlah benda itu..."

"Aku tidak boleh. Tuan aku sudah tahu. Dia akan menyeksaku."

"Kalau begitu, aku akan bantu engkau..."

"Tidak, tidak, tidak... Aku diseksa sekarang ini. Badanku kesakitan."

"Engkau janganlah risau, aku akan bantu engkau. Aku akan lepaskan engkau. Aku berjanji. Adakah engkau ingin memeluk Islam?"

"Aku takut kerana aku lama diikat sejak kecil."

"Adakah kamu ingin lepaskan diri dengan nama Allah. Adakah engkau ingin memeluk Islam. Aku berjanji..."

Jin itu mengerang kesakitan dan meminta tolong. Jin itu bersetuju untuk memeluk Islam.

"Aku ulangi. Jangan memeluk Islam kerana terpaksa, tetapi peluklah kerana Allah."

Jin itu bersetuju lalu saya suruhnya mengucap dua kalimat syahadah dan berselawat ke atas Nabi dengan mengikut intonasi yang betul.

"Alhamdulillah, Allah akan memberkati kamu, dan janganlah mengulangi kesilapan lalu."

Jin itu menangis dalam kesakitan, dan terus sahaja saya membantu jin tersebut lalu membacakan ayat-ayat pelerai dalam surah Al-Anfal dan surah Al-Buruj serta Surah Al-Imran dan disudahi dengan Surah 3 Kul dan Surah Ayatul Kursi. Saya tiupkan di seluruh badan dan leher pesakit lalu saya berselawat ke atas-Nya serta saya lurutkan tangan seluruh tubuhnya hingga ke kaki. Ketika itu, Jin itu merasakan kesakitannya hilang serta-merta. Saya menyuruhnya pergilah ke tempat berkumpulnya jin-jin Islam yang lain. Jin itu tidak tahu ke mana. Maka, doa saya kepada Allah, bawalah jin ini ke Masjid-Masjid berhampiran untuk dia memulakan kehidupan baharunya sebagai Muslim. Jin itu mengangguk, lalu pergi setelah diucap salam.

Pesakit itu tersedar, lalu matilah ulat-ulat itu. Beliau berasa segar dan sihat seperti dahulu. Bersyukur kita kepada Allah, kerana setiap kebatilan itu, tiada satu pun yang dapat menandingi kuasa Allah. Manakala bahan sihir tadi sudah menjadi barangan kosong, kerana tiada lagi jin lalu mereput dengan sendirinya.

Saya membekalkan limau, garam dan air mineral yang telah didoa serta doa-doa yang perlu diamalkan seperti surah Ar-Rahman yang wajib dibaca setiap hari selama sebulan. Alhamdulillah, selama sebulan, tubuh badannya seperti sediakala dan tidak lagi berbau busuk.